Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan pembubaran Parlimen pada 13 Februari 2008 bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan, iaitu 15 bulan sebelum mandat penggal sekarang berakhir pada Mei 2009.
Serentak itu, semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak turut dibubarkan.
Sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-12 manakala 505 kerusi DUN akan direbut parti-parti politik di peringkat negeri.Pilihan raya umum kali ini turut menyaksikan pertambahan tiga kerusi baru bagi Parlimen Sarawak ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2006.
Mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.Hari penamaan calon pilihanraya umum ke-12 ditetapkan pada 24 Februari manakala pengundian akan diadakan pada 8 Mac depan.
Tarikh tersebut diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada 14 Februari 2008.
Senarai pendaftar pemilih induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari lalu, akan digunapakai dalam pilihanraya umum ke-12.Berdasarkan senarai tersebut, terdapat 10,922,139 pengundi - iaitu 10,701,054 pengundi awam dan 221,085 pengundi - yang layak mengundi dalam pilihanraya umum kali ini.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertanding dalam pilihanraya umum kali ini.
Ini tidak termasuk 71 kerusi DUN di Sarawak yang tidak dipertandingkan kali ini.
Secara terperincinya, Perlis mempunyai tiga kerusi Parlimen dan 15 DUN, Kedah (15 Parlimen, 36 DUN), Kelantan (14 Parlimen, 45 DUN), Terengganu (8 Parlimen, 32 DUN), Pulau Pinang (13 Parlimen, 40 DUN), Perak (24 Parlimen, 59 DUN), Pahang (14 Parlimen, 42 DUN).
Selangor (22 Parlimen, 56 DUN), Negeri Sembilan (8 Parlimen, 36 DUN), Melaka (6 Parlimen, 28 DUN), Johor (26 Parlimen, 56 DUN), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 Parlimen), Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 Parlimen) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1 Parlimen), Sabah 25 Parlimen, 60 DUN) dan Sarawak (31 Parlimen, 71 DUN).
Ini bermakna 166 kerusi Parlimen dan 445 kerusi DUN akan dipertandingkan di Semenanjung Malaysia manakala bakinya 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak serta 60 kerusi DUN di Sabah.
Dalam pilihanraya umum 2004, bagi kerusi Parlimen, Barisan Nasional (BN) memenangi 199 kerusi, DAP (12), PAS (6), PKR (1) dan Bebas (1).
No comments:
Post a Comment