Mymode Prepaid - Duit Poket Tambahan

Prepaid4U.Net Your Mobile Lifestyle
Showing posts with label Ilmu Alam. Show all posts
Showing posts with label Ilmu Alam. Show all posts

Sunday, January 06, 2008

Limau Nipis

Limau nipis bukan buah yang asing bagi kita. Dulu, ketika masih kanak-kanak, kita mungkin biasa minum perahan limau nipis yang dicampur dengan kicap dan sedikit garam untuk menyembuhkan batuk. Memang rasanya masam tapi batuk beransur-ansur sembuh bukan? Atau jika hari panas, air limau nipis sejuk menjadi penawar dahaga. Air limau nipis kononnya dapat mengeimbangkan makanan berlemak. Sebenarnya masih banyak kegunaan buah limau nipis ini, dari menghilangkan sembelit hingga menghindarkan kedut-kedut pada wajah.

Limau nipis atau nama botaninya citrus aurantifolia. Kalau di barat dipanggil lime, bangsa Sepanyol mengenali sebagai lima, sementara orang Arab menyebutnya limah. Pohon limau nipis boleh mencapai ketinggian hingga 4 meter, lebih pendek dari 'saudara'nya limau purut. Buahnya berbentuk bulat sebesar bola ping pong dengan kulit luar berwarna hijau, setelah tua menjadi kuning. Seperti buahnya yang kecil, bunganya pun berukuran kecil-kecil berwarna putih.

Rasa masam pada limau nipis dan semua jenis limau lainnya, berperanan pembuang toksin terbesar dibandingkan buah-buah lain. Rasa masam dan unsur pectin yang terkandung di dalamnya membantu menghilangkan racun-racun dalam tubuh. Jika ingin melakukan pembuangan toksin, anda boleh minum segelas besar air yang ditambah dengan perahan limau nipis setiap pagi kemudian diikuti dengan segelas besar air putih setiap jam berikutnya. Jika tidak tahan dengan rasa masamnya, limau nipis boleh digantikan dengan limau biasa.

Kadang-kadang proses pembuangan toksin diikuti dengan keluarnya gejala seperti kulit kering atau sakit kepala. Gejala ini berjalan seiring dengan keluarnya racun dari tubuh dan keadaan ini adalah wajar. Namun jika tidak yakin, anda mesti mendapatkan nasihat doktor. Selain itu, disarankan agar tidak memakan limau nipis untuk membuang toksin ketika tubuh tidak sihat kerana keadaan ini boleh memburukkan lagi kesihatan anda.

Tingkat daya tahan tubuh . Menurut buku Food That Harm Food That Heal, meminum air limau ini sebiji sehari, akan meningkatkan daya tahan tubuh dari serangan virus. Vitamin C yang tinggi dari buah ini akan menyediakan antioksidan untuk menjinakkan radikal bebas dalam tubuh. Sementara sejumlah mineral, potasium di alamnya bermanfaat untuk membantu mengatur tekanan darah dan fungsi jantung, serta vital untuk memelihara kelenturan otot dan memperlancar sistem saraf.

Selagi tidak disebabkan oleh jangkitan di tekak atau jangkitan paru yang parah, limau nipis berkesan untuk menghilangkan batuk. Ini kerana beberapa kandungan mineral yang penting pada limau nipis seperti kalsium, pospor, potasium dan besi. Seperti diketahui, besi adalah suatu antioksidan.

Potasium menyeimbangkan tekanan darah menguatkan fungsi jantung. Ada pun pospor memperbaiki metabolisme tubuh. Kombinasi vitamin C dan beberapa mineral tersebut sudah tentu berkesan untuk mengatasi gangguan ringan pada tubuh, seperti masuk angin, yang menyebabkan batuk. Secara tradisional, penggunaan limau nipis sebagai ubat batuk adalah cukup dengan membelah sebiji limau nipis dan dituangkan dengan sedikit kicap di atas hirisan limau tersebut, lalu diperah ke dalam mulut. Penggunaan kicap itu sendiri tidak jelas tujuannya.

Mungkin kicap digunakan untuk mengseimbangkan rasa masam yang sangat kuat dari limau nipis. Kicap dipilih kerana rasa manis yang ditimbulkan juga tidak setajam rasa manis pada gula yang boleh merangsang munculnya batuk. Kombinasi semacam ini umum dijumpai pada ubat-ubat dijual di kedai-kedai ubat Cina.

Demam
Petiklah 2-4 genggam daun limau nipis. Rebus dengan 2 hingga 4 gelas air. Gunakan air rebusan ini untuk menuam pesakit yang demam. Caranya dengan membasuh kain pada air rebusan dan diperas, lalu ditempelkan pada dahi pesakit.

Batuk
Ambil air limau nipis satu sudu teh. Campur dengan kicap manis. Minumlah tiga kali sehari. Cara lain untuk mengubati batuk ialah dengan memanggang limau nipis sebentar di atas api. Biarkan sebentar hingga menjadi suam-suam kuku, belah buah limau nipis tersebut, lalu langsung perah ke dalam mulut hingga mengalir ke tekak. Resipi ini baik juga untuk menyembuhkan

Selesema
Menghentikan kebiasaan merokok.. Hisaplah sehiris limau nipis. Rasanya yang masam segar membuat anda terangsang untuk minum air putih. Lakukan beberapa kali sehari. Cara ini selain mengurangi keinginan untuk merokok, juga membantu membersihkan nikotin yang sudah terdapat pada gigi dan mulut.

Bau ketiak yang tak sedap
Siapkan limau nipis yang dicampur kapur sirih. Setelah mandi, sapukan campuran ini pada ketiak dan biarkan beberapa waktu sebelum dibasuh. Lakukan pagi dan petang.

Misai Kucing

Misai Kucing (Orthosiphon Stamineus) adalah sejenis herba renek yang banyak terdapat di negara-negara Asia Tenggara dan telah lama digunakan dalam perubatan tradisional.

Ia telah terkenal sejak turun temurun kerana khasiatnya dapat membuang dan mencuci darah dari toksid yang berlebihan, terutama bagi merawat kencing manis dan menurunkan tekanan darah tinggi.

Daunnya dikeringkan dan dijadikan teh telah lama digunakan sebagai minuman sejak dulu lagi.

Ianya bersifat diuretik, dapat membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan dan melawaskan pembuangan air kecil tetapi tidak mendatangkan masalah pada buah pinggang seperti kebanyakan ubat-ubatan moden.
Selain dari itu ia juga dapat merawat penyakit lain seperti gout, athritis, reumatik dan mencegah pembentukan batu karang. Ia juga digunakan untuk mengurangkan kelesterol dan tekanan darah. Kandungan saponin dan tanin pada daun itu juga boleh mengubati keputihan. Penyelidikan juga telah mendapati ianya besifat antiseptik.

Misai Kucing juga dikenali dengan nama Kumis Kucing, Remujung, Orthosiphon Stamineus Benth, Orthosiphon Aristatus, Orthosiphonblaetter, Indisher Nierentee, Feuilles de Barbiflore, Java Tea, Javatee, Kidney Tea, dan Yaa Nuat Maeo.
Herba Misai Kucing adalah dari keluarga Lamiaceae / Labiatae.

Misai Kucing adalah herba renek yang tumbuh cepat dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 1.5m. Daunnya tersusun dalam pasangan yang bertentangan, licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan di tepinya berjeriji. Tangkai daun pendek, lebih kurang 0.3cm panjang dan berwarna ungu-kemerahan. Batangnya bersegi empat, tumbuh tegak dan bercabang-cabang.

Nama Misai Kucing diberi sempena ciri bunganya yang unik, mempunyai filamen yang panjang menyerupai misai kucing. Di Malaysia, dua varieti telah dikenal pasti berdasarkan warna bunga iaitu bunga putih dan bunga ungu. Varieti bunga putih dikenali sebagai MOS1 dan varieti bunga ungu dikenali sebagai MOS2. Terdapat perbezaan dari segi pertumbuhan antara dua varieti ini.

Herba Misai Kucing telah digunakan sejak beratus-ratus tahun dahulu oleh pengamal perubatan tradisional untuk merawat penyakit berkaitan pundi kencing (seperti batu karang) dan buah pinggang.

Kandungan ortosifonim dan garam kalium (yang terdapat pada daunnya), merupakan komponen utama yang membantu larutnya asid urik, fosfat dan oksalat dalam tubuh manusia, terutama dalam hempedu ataupun ginjal sehingga dapat mencegah terjadinya endapan batu karang. Kandungan saponin dan tanin pada daun juga boleh mengubati penyakit keputihan yang dialami oleh sesetengah wanita. Daun Misai Kucing digunakan bersama daun hempedu bumi untuk melawaskan buang air kecil (bersifat diuretik), rawatan batu ginjal, reumatisme, sakit pinggang, radang ginjal, masuk angin, kencing manis dan demam. Tanaman ini juga boleh digunakan sebagai bahan antialergi.


Misai Kucing banyak terdapat di kawasan lapang seperti di tepi jalan dan kawasan tanah terbiar samada kawasan tanah rendah atau tinggi. Selain tumbuh secara liar, Misai Kucing juga ditanam di kawasan rumah sebagai tanaman hiasan kerana bunganya yang menarik.

Saturday, August 04, 2007

Penyu

Penyu merupakan sejenis haiwan yang mempunyai cengkerang keras di bahagian belakang dengan kaki pendayung di hadapan. Ini menjadikan penyu sebagai haiwan yang tangkas berenang di lautan tetapi kekok untuk bergerak di daratan. Ini berbeza dengan kura-kura yang mempunyai kaki yang serupa bagi keempat-empat kakinya.

Penyu digolongkan di dalam haiwan vertebrata (bertulang belakang), kelas reptilia sama dengan ular, cicak, kura-kura, labi-labi dan tuntung. Penyu juga mempunyai kulit yang bersisik (di bahagian tidak bercengkerang), bernafas melalui paru-paru, mempunyai suhu badan yang mengikut suhu persekitaran, bertelur dan merupakan haiwan marin. Mengikut kajian yang telah dijalankan didapati penyu telah wujud semenjak akhir zaman Jurassic (145 - 208 juta tahun ), iaitu sezaman dengan dinosaur. Penyu Archelon yang bersaiz 6 meter (20 kaki) panjang ataupun penyu Cimochelys, berenang di laut silam seperti penyu masa kini. Walaupun penyu boleh menyelam dan berada dalam air untuk tempoh yang lama, tetapi ia mestilah timbul ke permukaan air untuk bernafas. Penyu menggunakan paru-paru untuk bernafas. Kesemua spesies penyu diancam bahaya kepupusan disebabkan mengalami banyak ancaman semulajadi dan ancaman manusia sepanjang hayat mereka.

Penyu secara amnya mempunyai satu kitaran hayat yang sama. Penyu betina akan mengawan dengan penyu jantan bagi menghasilkan telur. Penyu betina akan mendarat di pantai pada waktu malam untuk bertelur. Tempoh bertelur berbeza mengikut jenis penyu, kebiasaannya 1 - 3 jam. Selepas musim bertelur, penyu akan berhijrah ke kawasan ia mencari makan. Kebanyakan penyu tinggal dalam lengkongan beberapa ratus batu dari pantai kecuali penyu Belimbing yang mengembara sejauh beribu-ribu batu untuk bertelur dan mencari makan.

Seseekor penyu jantan akan menghabiskan keseluruhan masanya hidup di dalam air, tidak seperti penyu betina yang akan kedarat untuk bertelur. Ukuran yang direkodkan juga biasanya adalah merujuk kepada data yang dipungut ketika penyu betina mendarat untuk bertelur dan berkemungkinannya tidak menunjukkan saiz dan ukuran penyu jantan yang sebenarnya. Tambahan lagi, penyu jantan tidak perlu menyimpan telur yang berjumlah beratus-ratus biji di dalam tubuhnya, oleh itu kemungkinannya mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding dengan penyu betina.

Pada musim mengawan, penyu jantan dan betina akan berkumpul di kawasan air cetek di persisiran pantai untuk mengawan sepanjang musim mengawan. Seekor penyu betina boleh bertelur di antara 4 - 6 kali sepanjang musim bertelur. Biasanya selang masa di antara satu masa bertelur dengan yang lain ialah 8 - 15 hari bergantung kepada jenis penyu. Selepas itu penyu betina akan mengambil masa selama 2 - 8 tahun sebelum kembali untuk bertelur di pantai yang sama ia bertelur dahulu. Kebanyakan spesies penyu akan bertelur pada waktu malam kecuali spesies penyu Lipas Atlantik (Lepidochelys kempii) yang bertelur secara serentak pada waktu siang dan penyu Agar (Chelonia mydas) yang pernah dilapurkan kadang-kala naik untuk berjemur panas matahari di waktu siang di kawasan kepulauan Hawai. Ibu penyu akan merangkak naik ke pantai dan memilih tempat untuk bertelur dengan menggunakan suhu pasir untuk menentukan paras air pasang (Stoneburner and Richardson, 1981). Pasir yang berada di atas paras air pasang akan menyimpan lebih banyak haba matahari, oleh itu lebih panas daripada pasir yang berada di bawah paras air.

Ibu penyu akan menggali lubang dengan menggunakan kaki belakang sambil berundur sedikit sehingga pasir yang digali itu lebih lembab/kemas, oleh itu tidak mudah rebis. Setelah itu ibu penyu akan menggali lubang yang lebih dalam dan kecil sedalam 2 - 3 kaki dan bertelur sejumlah anggaran 50 hingga 100 biji bergantung kepada spesies. Selepas bertelur, ibu penyu akan menggunakan kaki belakang untuk menimbuskan lubang tersebut serta menggunakan kaki pendayung hadapan untuk menebarkan pasir kebelakang untuk menyamar sarangnya. Ibu penyu mungkin akan bergerak berputar- putar sedikit di atas sarangnya (bergantung kepada spesies penyu) untuk menyembunyikan sarangnya sebelum merangkak kembali ke dalam laut di mana ia lebih selamat.

Ketika ibu penyu berada di atas darat, matanya akan merembaskan air garam pekat untuk mengeluarkan garam yang berlebihan di dalam tubuhnya. Air garam yang meleleh dari mata penyu ini membuatkan ibu penyu kelihatannya seolah-olah menangis. Oleh kerana penyu payah untuk bergerak di daratan dan mudah menjadi mangsa, ia tidak akan tinggal lama sebelum kembali di laut.

Telur penyu yang terhasil akan ditinggalkan tanpa jagaan. Tempoh pengeraman dan jantina anak-anak penyu dipengaruhi oleh suhu pasir. Pada suhu yang melebihi 29 darjah Selsius, banyak anak-anak penyu betina akan terhasil. Sebaliknya, pada suhu kurang daripada 29 darjah selsius, kebanyakan anak penyu yang menetas adalah penyu jantan. Telur penyu akan menetas selepas 7 - 12 minggu dan bergantung kepada jenis penyu dan suhu pengeraman (ia itu jumlah sinaran matahari dan suhu pasir.) Bagaimanapun, sekiranya suhu dalam pasir terlampau panas, ini akan membunuh anak penyu yang belum menetas itu.

Anak-anak penyu yang menetas akan keluar dari sarang pada waktu malam dan terus berebut-rebut menuju ke laut mengikut cahaya bulan. Ini adalah kerana tanpa cahaya buatan, langit di laut akan sentiasa lebih terang daripada langit di daratan, samaada pada waktu siang ataupun malam. Ini disebabkan oleh balikan cahaya ke langit oleh air laut. Disebabkan oleh fakta ini, lampu hotel, rumah dan lampu jalan di persisiran pantai boleh menjadi ancaman dengan menyebabkan anak-anak penyu tersebut sesat dan mudah menjadi mangsa apabila siang menjelma.

Pada peringkat ini anak-anak penyu dikatakan mengalami proses imprinting yang membolehkan anak penyu tersebut kembali semula ke pantai tempat kelahirannya apabila dewasa. Pakar sains meramalkan sebanyak 1,000 hingga 10,000 telur diperlukan untuk mendapatkan seekor penyu betina atau seekor penyu jantan dewasa yang berjaya mencapai ke peringkat dewasa dalam masa 20 hingga 50 tahun. Anak-anak penyu di percayai akan menghabiskan masa mencari makanan di permukaan air. Kebanyakan anak penyu akan menghabiskan masa mereka mencari makanan di kawasan persisiran pantai kecuali anak-anak penyu Belimbing yang akan berenang jauh ke laut lepas. Pada masa kini, tidak banyak yang diketahui tentang di mana anak-anak penyu Belimbing pergi di peringkat remaja mereka.

Species-spesies penyu adalah seperti berikut :-

-Penyu Agar / Penyu Pulau (Green)- Chelonia mydas (Terdapat di Malaysia)
-Penyu Hitam sub-spesies (Chelonia mydas agassizii)
-Penyu Belimbing (Leatherback)- Dermochelys coriacea (Terdapat di Malaysia) - Terbesar.
-Penyu Karah/Penyu Sisik (Hawksbill)-Eretmochelys imbricata (Terdapat di Malaysia)
-Penyu Lipas Pasifik (Olive Ridley) - Lepidochelys olivaces (Terdapat di Malaysia)
-Penyu Lipas Atlantik (Kemps Ridley) - Lepidochelys kempii - Terkecil.
-Penyu Daun (Flatback) - Natator depressus.
-Penyu Tempayan - Caretta caretta Linneaus.


Pusat Penerangan Dan Pengurusan Penyu


Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang mempunyai pendaratan penyu untuk bertelur telah membina pusat-pusat penerangan dan pengurusan penyu. Fungsi pusat-pusat ini adalah untuk melaksanakan program-program publisiti, menjalankan penyelidikan, penetasan dan pengurusan penyu di negeri berkenaan. Pusat-pusat penerangan dan pengurusan yang telah dibina dan masih beroperasi sehingga kini adalah sepertimana berikut:

Pusat Pengurusan & Penerangan Penyu Rantau Abang, Terengganu
Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah, Kemaman, Terengganu
Pusat Pengurusan & Penerangan Penyu Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Melaka
Pusat Pengurusan Penyu Segari, Perak
Pusat Pengurusan & Penerangan Penyu Pantai Chendor, Pahang

Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama daripada Kerajaan-Kerajaan Negeri, Universiti Tempatan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) banyak terlibat dalam program pemuliharaan penyu ini. Program-program pemuliharaan seperti ceramah untuk golongan nelayan, pelajar-pelajar sekolah, pengusaha-pengusaha chalet dan juga kepada orang awam telah diadakan. Di samping itu juga program publisiti dibuat dalam bentuk risalah, video dan dalam bentuk media bercetak dan elektronik yang lain diadakan untuk meningkatkan kesedaran kepada orang awam.

Wednesday, August 01, 2007

Bunga Raya

Bunga Raya

Bunga Raya (Hibiscus Rosa - Sinensis) merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang sering di tanam sebagai pokok hiasan dan ia adalah bunga kebangsaan Malaysia.

Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir pada tahun 1958 Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Bunga yang dicadangkan adalah Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung. Selepas perbincangan, pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuh Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai bunga kebangsaan.

Bunga Raya

Bunga Raya

Bunga Melur

Bunga Kenanga

Bunga Teratai

Bunga Mawar

Bunga Cempaka Kuning

Bunga Tanjung