
Penyu digolongkan di dalam haiwan vertebrata (bertulang belakang), kelas reptilia sama dengan ular, cicak, kura-kura, labi-labi dan tuntung. Penyu juga mempunyai kulit yang bersisik (di bahagian tidak bercengkerang), bernafas melalui paru-paru, mempunyai suhu badan yang mengikut suhu persekitaran, bertelur dan merupakan haiwan marin. Mengikut kajian yang telah dijalankan didapati penyu telah wujud semenjak akhir zaman Jurassic (145 - 208 juta tahun ), iaitu sezaman dengan dinosaur. Penyu Archelon yang bersaiz 6 meter (20 kaki) panjang ataupun penyu Cimochelys, berenang di laut silam seperti penyu masa kini. Walaupun penyu boleh menyelam dan berada dalam air untuk tempoh yang lama, tetapi ia mestilah timbul ke permukaan air untuk bernafas. Penyu menggunakan paru-paru untuk bernafas. Kesemua spesies penyu diancam bahaya kepupusan disebabkan mengalami banyak ancaman semulajadi dan ancaman manusia sepanjang hayat mereka.
Penyu secara amnya mempunyai satu kitaran hayat yang sama. Penyu betina akan mengawan dengan penyu jantan bagi menghasilkan telur. Penyu betina akan mendarat di pantai pada waktu malam untuk bertelur. Tempoh bertelur berbeza mengikut jenis penyu, kebiasaannya 1 - 3 jam. Selepas musim bertelur, penyu akan berhijrah ke kawasan ia mencari makan. Kebanyakan penyu tinggal dalam lengkongan beberapa ratus batu dari pantai kecuali penyu Belimbing yang mengembara sejauh beribu-ribu batu untuk bertelur dan mencari makan.
Seseekor penyu jantan akan menghabiskan keseluruhan masanya hidup di dalam air, tidak seperti penyu betina yang akan kedarat untuk bertelur. Ukuran yang direkodkan juga biasanya adalah merujuk kepada data yang dipungut ketika penyu betina mendarat untuk bertelur dan berkemungkinannya tidak menunjukkan saiz dan ukuran penyu jantan yang sebenarnya. Tambahan lagi, penyu jantan tidak perlu menyimpan telur yang berjumlah beratus-ratus biji di dalam tubuhnya, oleh itu kemungkinannya mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding dengan penyu betina.

Ibu penyu akan menggali lubang dengan menggunakan kaki belakang sambil berundur sedikit sehingga pasir yang digali itu lebih lembab/kemas, oleh itu tidak mudah rebis. Setelah itu ibu penyu akan menggali lubang yang lebih dalam dan kecil sedalam 2 - 3 kaki dan bertelur sejumlah anggaran 50 hingga 100 biji bergantung kepada spesies. Selepas bertelur, ibu penyu akan menggunakan kaki belakang untuk menimbuskan lubang tersebut serta menggunakan kaki pendayung hadapan untuk menebarkan pasir kebelakang untuk menyamar sarangnya. Ibu penyu mungkin akan bergerak berputar- putar sedikit di atas sarangnya (bergantung kepada spesies penyu) untuk menyembunyikan sarangnya sebelum merangkak kembali ke dalam laut di mana ia lebih selamat.
Ketika ibu penyu berada di atas darat, matanya akan merembaskan air garam pekat untuk mengeluarkan garam yang berlebihan di dalam tubuhnya. Air garam yang meleleh dari mata penyu ini membuatkan ibu penyu kelihatannya seolah-olah menangis. Oleh kerana penyu payah untuk bergerak di daratan dan mudah menjadi mangsa, ia tidak akan tinggal lama sebelum kembali di laut.

Anak-anak penyu yang menetas akan keluar dari sarang pada waktu malam dan terus berebut-rebut menuju ke laut mengikut cahaya bulan. Ini adalah kerana tanpa cahaya buatan, langit di laut akan sentiasa lebih terang daripada langit di daratan, samaada pada waktu siang ataupun malam. Ini disebabkan oleh balikan cahaya ke langit oleh air laut. Disebabkan oleh fakta ini, lampu hotel, rumah dan lampu jalan di persisiran pantai boleh menjadi ancaman dengan menyebabkan anak-anak penyu tersebut sesat dan mudah menjadi mangsa apabila siang menjelma.

Species-spesies penyu adalah seperti berikut :-
-Penyu Agar / Penyu Pulau (Green)- Chelonia mydas (Terdapat di Malaysia)
-Penyu Hitam sub-spesies (Chelonia mydas agassizii)
-Penyu Belimbing (Leatherback)- Dermochelys coriacea (Terdapat di Malaysia) - Terbesar.
-Penyu Karah/Penyu Sisik (Hawksbill)-Eretmochelys imbricata (Terdapat di Malaysia)
-Penyu Lipas Pasifik (Olive Ridley) - Lepidochelys olivaces (Terdapat di Malaysia)
-Penyu Lipas Atlantik (Kemps Ridley) - Lepidochelys kempii - Terkecil.
-Penyu Daun (Flatback) - Natator depressus.
-Penyu Tempayan - Caretta caretta Linneaus.
Pusat Penerangan Dan Pengurusan Penyu
Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang mempunyai pendaratan penyu untuk bertelur telah membina pusat-pusat penerangan dan pengurusan penyu. Fungsi pusat-pusat ini adalah untuk melaksanakan program-program publisiti, menjalankan penyelidikan, penetasan dan pengurusan penyu di negeri berkenaan. Pusat-pusat penerangan dan pengurusan yang telah dibina dan masih beroperasi sehingga kini adalah sepertimana berikut:
Pusat Pengurusan & Penerangan Penyu Rantau Abang, Terengganu
Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah, Kemaman, Terengganu
Pusat Pengurusan & Penerangan Penyu Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Melaka
Pusat Pengurusan Penyu Segari, Perak
Pusat Pengurusan & Penerangan Penyu Pantai Chendor, Pahang
Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama daripada Kerajaan-Kerajaan Negeri, Universiti Tempatan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) banyak terlibat dalam program pemuliharaan penyu ini. Program-program pemuliharaan seperti ceramah untuk golongan nelayan, pelajar-pelajar sekolah, pengusaha-pengusaha chalet dan juga kepada orang awam telah diadakan. Di samping itu juga program publisiti dibuat dalam bentuk risalah, video dan dalam bentuk media bercetak dan elektronik yang lain diadakan untuk meningkatkan kesedaran kepada orang awam.
No comments:
Post a Comment