Kaul merupakan satu pesta keramaian yang diraikan oleh masyarakat Melanau sejak dari dulu lagi. Pesta tradisi yang disambut secara tahunan ini, menghimpunkan pelbagai upacara dan adat resam yang menarik dan luar biasa dari kaum lain.
Dahulu, Kaul dilihat sebagai perayaan keagamaan oleh masyarakat Melanau "Pagan" untuk memohon restu daripada penunggu laut,darat,ladang dan hutan agar penunggu tersebut tidak mengganggu ketika mereka mencari rezeki. Disebabkan kaum Melanau sinonim dengan aktiviti nelayan, Kaul diadakan bagi menandakan musim tengkujuh telah berlalu.
Perubahan agama dan anutan di kalangan masyarakat Melanau turut mengubah aplikasi dan kepercayaan Kaul. Kehadiran Islam dan Kristian membawa senario baru kepada Kaul yang lebih sesuai dilihat sebagai satu pesta sosio-budaya. Namun di dalamnya masih terselit keunikan warisan Bangsa Melanau di Negeri Sarawak iaitu masyarakat yang masih mengekalkan upacara tradisi yang disesuaikan mengikut masa.
Pesta Kaul menjadi medan perkelahan komuniti terbesar masyarakat Melanau. Pesta ini menghidangkan satu manifestasi khazanah budaya kaum Melanau dari aspek pakaian, kraftangan, makanan, permainan dan tarian. Kini sambutannya disertai oleh semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum terutamanya untuk melihat dan menyertai pelbagai permainan tradisi seperti "Tibow", pameran dan jualan makanan eksotik tempatan.
No comments:
Post a Comment